Seni
- Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah.
- Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu.
- Hal ini telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden, mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu.
- Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya mengambil kira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya.
- Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.
- Seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat.
- Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43).
- Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12).
- Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959).
- Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).
Seni Visual
- Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ia merangkumi seni lukis dan seni reka.
- Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu.
- Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya.
- Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.
- Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media.
- Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer.
- Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).
- Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18.
- Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.
- Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden.
- Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya.
- Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.
- Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual.
- Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.
ni soalan exam awak ea? HAHAHA ;D
ReplyDeleteTq2 ! Sangat2 membantu ISL saya :)
ReplyDeleteUr welcome... =)
Delete